Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
pengarang@utusan.com.my
KUALA PILAH 4 Mei - Mayat dua daripada tiga kanak-kanak masing-masing berusia antara 2 dan 5 tahun yang hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi-manda di Hutan Lipur Ulu Bendul dekat sini petang semalam, ditemui pagi ini.
Mayat Nur Syaza Alisa Said Ahmad, 5, ditemui oleh bapa saudaranya, Abdul Azam Wahab, 23, pada pukul 3.15 pagi ini, kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.
Mayat adiknya, Nur Syaza Azira, 4, pula ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10.20 pagi, kira-kira 2.5 kilometer dari tempat kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan Ulu Bendul.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Jaafar Baba ketika dihubungi hari ini mengesahkan penemuan mayat dua kanak-kanak itu dan usaha mencari seorang lagi kanak-kanak itu, Nur Syaza Sakinah, 2, sedang diperhebatkan.
Beliau berkata, mayat dua beradik itu telah dihantar ke Hospital Kuala Pilah sebelum dibawa pulang petang ini ke Taman Desa Exora, Senawang untuk pengkebumian.
Abdul Azam yang baru melangsungkan perkahwinan Sabtu lalu dengan Wan Hasniza Wan Abdullah, 25, iaitu adik kepada ibu kanak-kanak malang itu berkata, dia bersama beberapa orang meredah air sungai paras pinggang dan berenang untuk mencari anak buahnya yang hilang itu.
"Saya nekad untuk membantu dan ketika itu apa yang saya tahu ialah kesemua anak buah saya yang hilang harus ditemui walau apa keadaannya sekali pun," katanya ketika ditemui di Hutan Lipur Ulu Bendul, di sini hari ini.
Katanya, dia sedih apabila berjaya menemui mayat Nur Syaza Alisa pada pukul 3.15 pagi dalam keadaan kepalanya cedera dan bibir pecah serta lebam.
"Saya tergamam dan tidak menduga akan kehilangan tiga anak buah yang baru sahaja dikenali Sabtu lalu, semasa majlis perkahwinan saya," katanya.
Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi kawasan letak kereta di hutan lipur berkenaan sebaik sahaja mayat Nur Syaza Azira dibawa ke situ untuk pengecaman ahli keluarga.
Turut berada di situ, bapa kanak-kanak malang ini, Said Ahmad Ibrahim, 28, yang kelihatan sugul dan kaki masih berbalut, dipanggil untuk mengesahkan mayat Nur Syaza Azira.
Bapa saudara kanak-kanak malang itu, Wan Adnan Wan Abdullah, 37, memberitahu, dalam tempoh dua minggu ini, keluarga mereka dirundung malang.
"Pada hari Sabtu dua minggu lalu, anak sepupu saya meninggal dunia selepas maut dalam kemalangan jalan raya melibatkan motosikal bersama rakannya di Lubuk Cina, Melaka.
"Sabtu lalu, sepupu saya pula meninggal dunia kerana terbabit dengan kemalangan jalan raya ketika memandu kereta di Ramuan Cina, Melaka. Minggu ini pula, tiga anak buah saya meninggal dunia serentak," katanya dalam linangan air mata.
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang semalam, tiga kanak-kanak itu hanyut dibawa arus deras yang disebut fenomena 'kepala air' ketika sedang mandi di kawasan perkelahan popular itu.
Bapa kanak-kanak itu, Said Ahmad dan seorang kenalan wanitanya, Alwani Abu Hassan, 18, berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada di kawasan berkenaan.
sedihnya ... tak terbayangkan kalau terjadi bende ni kat keluarga terdekat. mintak dijauhkan dari semua tu. semoga mereka tabah mengharunginya. ;(





0 comments:
Post a Comment